Menurut Normaliza Abd Rahim (2014) dalam Noraien Mansor & Normaliza Abd Rahim (2019) telah menyenaraikan 10 etika ketika penulisan blog. Antaranya ialah :
1. Tajuk yang menarik yang boleh menarik perhatian pembaca.
Tajuk yang digunakan dalam menghasilkan sebuah blog merupakan salah satu daya tarikan untuk menarik pembaca mengunjungi blog penulis. Oleh itu, tajuk memainkan peranan yang utama dalam menghasilkan sebuah blog yang menarik. Jika tajuk yang dihasilkan sangat menarik maka ramai pembaca akan mengunjungi blog penulis sebaliknya jika tajuk tidak menarik pembaca akan berasa malas untuk membaca lalu akan mengabaikannya sahaja.
2. Cerita menarik yang dapat menarik hati pembaca.
Jalan cerita yang dihasilkan haruslah unik dan lain daripada yang lain. Jalan cerita tidak haruslah terlalu cliche dan ringkas sahaja. Tidak perlu menulis terlalu banyak tanpa tujuan utama dan jalan cerita yang panjang lebar. Pembaca suka kepada cerita yang ringkas tetapi mempunyai banyak impak moral yang ingin disampaikan. Cerita yang menarik juga akan membuatkan pembaca berulang kali mengunjungi blog penulis.
3. Masukkan ayat yang humor dan berbentuk jenaka untuk membuatkannya lebih menarik.
Dalam menghasilkan blog, humor merupakan sikap yang perlu ada oleh penulis untuk membangkitkan rasa gembira dan gelak tawa pembaca ketika mengunjungi blog. Penulisan blog yang mempunyai jenaka akan membuat pembaca lebih tertarik untuk membaca dan mengunjungi blog penulis selalu. Oleh itu, penulis haruslah mencuit hati pembaca dengan menulis sesuatu yang menarik yang mengandungi jenaka.
4. Memastikan terdapat hujah terbaik untuk menghuraikan penulisan anda.
Setiap penulisan blog haruslah mempunyai hujah-hujah yang ingin disampaikan kepada pembaca sama ada berbentuk tersirat mahupun tersurat. Hujah-hujah tersebut haruslah mempunyai tujuan utama untuk memberi inspirasi kepada pembaca selepas membaca blog. Hujah haruslah bernas, logik, ilmiah serta tidak berbelit dan panjang lebar. Oleh itu, hujah haruslah difahamkan dengan bahasa, gaya dan pendekatan yang benar.
5. Kaitkan penulisan anda dengan berita terkini.
Penulisan di blog haruslah dikaitkan dengan berita semasa agar dapat menarik pembaca untuk membaca blog penulis. Untuk zaman teknologi yang serba canggih ini semua berada di hujung jari dan apa sahaja berita terkini pembaca akan membaca di laman sosial. Jika kita menulis blog dan mengkaitkan dengan berita terkini, secara tidak langsung blog penulis akan keluar bersama berita terkini lalu pembaca akan mengujungi blog tersebut untuk mendapatkan info.
6. Gunakan perkataan dan struktur ayat yang ringkas.
Etika penulisan blog juga sangat mementingkan perkataan dan struktur yang ringkas. Penulis tidak perlu menggunakan ayat yang dramatis dan makna yang terlalu tinggi untuk difahami. Cukup saja penulis menggunakan ayat yang ringkas dan mudah difahami dalam penulisan blog. Hal ini boleh memberi fahaman yang sepenuhnya kepada pembaca apabila membacanya.
7. Dapat dibaca dan difahami.
Tulisan yang digunakan haruslah dapat dibaca dan difahami oleh pembaca. Penulis tidak sewajarnya menggunakan tulisan atau perkataan dalam bahasa negara luar. Hal ini akan menyebabkan pembaca tidak faham dan malas untuk mencari makna tersebut lalu terus meninggalkan blog daripada terus membaca. Blog yang difahami akan disukai oleh pembaca dan pembaca tidak perlu membaca berulang kali, cukup hanya sekali membacanya dan terus memahami apa yang disampaikan oleh penulis.
8. Dapat berkomunikasi dengan pembaca.
Blog ini memainkan peranan yang sangat penting antara pembaca dan penulis. Penulis hanya menulis apa yang ingin disampaikan kepada pembaca. Jika pembaca memahaminya secara tidak langsung, penulis dan pembaca dapat berkomunikasi antara satu sama lain dengan perkara yang ingin disampaikan. Oleh itu, komunikasi dalam blog juga boleh diwujudkan jika penulis meyampaikan sesuatu perkara dengan baik kepada pembacanya.
9. Masukkan moral dan nilai estetika dalam penulisan anda.
Setiap penulisan di blog haruslah memiliki moral dan nilai estetika yang baik kepada pembaca. Ini menunjukkan ciri-ciri blog yang terbaik untuk menarik perhatian pembaca untuk mengunjunginya. Moral dan nilai estetika yang disampaikan haruslah dikaitkan dengan tajuk dan tujuan menulis blog tanpa menyimpang antara satu sama lain. Ini mengelakkan berlakunya ketidakfahaman antara pembaca terhadap penulis.
10. Berilmu dalam penulisan pendidikan.
Penulisan blog tidak seharusnya menulis untuk perkara-perkara yang sia-sia. Penulis haruslah menghasilkan lebih banyak penulisan yang mengandungi ilmiah dan berpendidikan untuk berkongsi maklumat mahupun memberi pengetahuan baru kepada pembaca. Penulis juga haruslah menulis sumber maklumat yang sahih dari sumber sekunder dan primer. Hal ini mengelakkan daripada berlakunya kekeliruan dan perkara yang tidak sahih.
No comments:
Post a Comment